Arif Aiman Beri Bayangan Kekal Bersama JDT

Bintang Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman Hanapi, memberikan isyarat bahawa dia ingin terus beraksi bersama Harimau Selatan untuk jangka panjang. Hal ini diungkapkannya dalam satu temu bual eksklusif bersama laman rasmi AFC, the-AFC.com.
Fokus Arif Aiman: Tingkatkan Prestasi Bersama JDT
Ketika ditanya mengenai matlamat jangka panjang dan peluang beraksi di luar negara, Arif menegaskan bahawa fokus utamanya adalah untuk terus berkembang bersama JDT.
“Matlamat jangka panjang saya adalah untuk terus meningkat sebagai pemain dan beraksi pada tahap tertinggi untuk JDT. Saya perlu terus bekerja keras untuk berada di tempat saya hari ini,” katanya.
Pemain sayap berbakat itu turut mengakui bahawa dia masih perlu memperbaiki prestasinya, dan oleh sebab itu, dia memilih untuk terus menetapkan sasaran tinggi bersama JDT.
Diminati Kelab Luar, Tapi Arif Masih Setia
Arif Aiman menjadi perhatian selepas laman penyokong Rangers Journal memuji bakatnya dan mencadangkan agar kelab Scotland itu membawanya masuk. Selain itu, terdapat laporan bahawa kelab dari Iran turut berminat menawarkan kontrak lumayan kepadanya.
Namun, walaupun ada dorongan daripada pelbagai pihak agar Arif mencuba peluang di luar negara, dia tetap memilih untuk kekal dan mengembangkan bakatnya di Liga Malaysia bersama JDT.
Sokongan Kuat dari Keluarga dan TMJ
Dalam temu bual tersebut, Arif turut mendedahkan bahawa kejayaannya tidak datang dengan mudah.
“Impian saya sejak kecil adalah menjadi pemain bola sepak berjaya. Saya sangat bersyukur kerana mendapat sokongan padu daripada ibu bapa saya, yang sentiasa mendoakan dan menyokong saya sepanjang perjalanan ini.”
Selain itu, Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail (TMJ) juga memainkan peranan besar dalam perkembangan kariernya di JDT.
“TMJ sangat menyokong saya di JDT dan berperanan dalam perkembangan saya. Saya akan terus bekerja keras kerana mentaliti saya adalah untuk sentiasa memperbaiki diri,” tambahnya.
Dengan komitmen tinggi dan sokongan kuat dari pelbagai pihak, Arif Aiman kini terus berusaha mencapai tahap tertinggi dalam kariernya bersama JDT.
penulis:ahmad